Tentang Takbiratul Ihram

بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
اللهم صل على محمد وآل محمد
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه

Hukum Takbiratul Ihram

Hukumnya adalah wajib kerana Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

“Apabila kamu hendak menunaikan solat, maka sempurnakanlah wudhuk, kemudian mengadaplah ke arah qiblat. Setelah itu, ucapkanlah takbir…”. (Riwayat  dari Abu Hurairah RA)

Dinamakan Takbiratul-Ihram kerana (takbir yang mengharamkan) kerana ia mengharamkan semua perbuatan yang selain daripada perbuatan-perbuatan yang diseru lakukan didalam solat, iaitu; apabila mula melafazkan ucapan takbir ini, tidak boleh lagi bagi kita untuk melakukan perbuatan-perbuatan diluar solat seperti makan, minum dan sebagainya.

Sabda Nabi yang bermaksud; “Anak kunci solat ialah bersuci, yang mengharamkan segala perbuatan yang lain  ialah takbir dan yang menghalalkannya semula ialah memberi salam”. (Riwayati ‘Ali bin Abi Thalib RA)

Hukum "mengangkat tangan" ketika Takbiratul-Ihram  

Mengangkat tangan ketika Takbiratul-Ihram adalah sunat. Caranya ialah; kedua-dua tangan diangkat hingga setentang dengan dua telinga atau setentang dengan dua bahu.

Semasa mengangkat tangan itu, tapak tangan hendak di buka atau didedahkan dan dihalakan ke arah kiblat. Jari-jari tangan pula, menurut Imam Syafi’ie hendaklah diluruskan dengan direnggangkan secara sederhana antara satu sama lain (yakni tidak dirapatkan)  berdalilkan hadis dari Abu Hurairah RA yang menceritakan; “Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- membuka jari-jarinya semasa takbir”. (Hadith dari Abu Hurairah RA)

Ada tiga lagi tempat disunatkan mengangkat takbir iaitu;
1. Ketika hendak ruku’
2. Ketika bangun dari ruku’
3. Ketika bangun dari tahiyat awal ke rakaat ke tiga.

Malik bin al-Huwairith RA menceritakan; “Bahawa Nabi SAW apabila baginda bertakbir, baginda mengangkat dua tangan hingga setentang dengan dua telinganya. Dan apabila baginda ruku’, baginda mengangkat dua tangan hingga setentang dengan dua telinganya. Apabila mengangkat kepalanya dari ruku’, baginda membaca; “سمع الله لمن حمده” dengan melakukan seumpama itu”.

Ibnu ‘Umar RA menkhabarkan; “Adalah Rasulullah SAW apabila baginda bangun selepas (selesai) dua rakaat, beliau akan bertakbir dan mengangkat dua tangannya” .


اللهم صل على محمد وآل محمد
(Allahumma salli 'ala Muhammad wa ali Muhammad)
سُبْحَانَ اللّهِ وَ بِحَمْدِهِ ، سُبْحَانَ اللّهِ الْعَظِيمِ
(SubhanAllahi wa biHamdihi, SubhanAllahil adzim)
سبحانك اللهم وبحمدك أشهد ان لا إله إلا أنت أستغفرك وآتوب إليك
(Subhanakallahumma wabihamdika asyhadu allaailaaha illa anta astaghfiruka wa atuubu ilaika)



Post a Comment

0 Comments